Sabtu, 6 Disember 2008

Jangan 'esok' orang lain disalahkan

Sejak dua hari lepas ketika saya melewati laman pahangdaily.blogspot.com, saya dapati kelancarannya tersangkut-sangkut. Nak buka page agak lambat dan ada kalanya langsung tidak boleh dibuka.
Saya di sini bukanlah pandai sangat pasal dunia IT ini. Cuma sekadar tahupun 'sikit-sikit' sahaja. Mungkin lebih baik tahu 'sikit' dari tahu 'banyak' benda yang kita tidak tahu tetapi janganlah 'tidak tahu langsung'.
Saya menimbulkan perkara ini bukanlah hendak 'mengajar itik berenang' tetapi takut nanti di tuduh memfitnah. Bukannya apa, saya cadangkan kepada 'tuan punya' blog yang dianggap mempunyai pengikut yang ramai agar bertindak awal. Jangan sampai 'esok' blog tidak boleh dilayari, saya juga akan merasa rugi kerana tidak lagi boleh berkongsi 'ilmu'.
Atau apa yang saya paling takut dan bimbang, nanti kawan-kawan kita pulak di tuduh punca kepada masalah teknikal itu. Sudah tentu yang akan kena teruk dan yang akan difitnah adalah 'rakan' di sebelah sana iaitu pahangdaily.com. Ataupun Umno juga yang akan dituduhnya nanti.

Rabu, 3 Disember 2008

PAS Pahang cipta sejarah: UMNO dah buat lama dah...

Pas Pahang rasa cukup hebat malah menganggapnya sebagai satu sejarah baru yang apabila berjaya meletakan dua tokoh yang berbeza agama diatas satu pentas. Pas Pahang melalui program Malam Kebudayaan Rakyat Malaysia rasa teruja bila Tok Guru Nik Aziz bersama Penasihat Persatuan Hindu Sangam Siva Sri Ramachandaran Siva Chariyar menjadi tetamu pada program tersebut yang diadakan di Kompleks Imam As-Syafie (KIAS), Temin Jerantut.

Bagi Pas ini mungkin perkara baru kerana mereka tidak pernah buat sebelum ini. Namun bagi Umno, perkara sebegini telah lama dibuat malah menjadi asas Barisan Nasioal berkongsi dengan bangsa lain yang berbeza agama dan kepercayaan.

Apalah yang hendak dibangga sangat oleh Pas bilamana berjaya membawa dua orang kuat persatuan Hindu untuk berceramah diatas pentas Pas. Malah inilah wajah sebenar Pas yang sanggup buat ‘apa sahaja’ asalkan matlamat menghalalkan cara.

Kalau dulu Pas menuduh orang Umno kafir, haram memakan masakan hasil sembelihan orang Umno malah menghukum haram berkongsi dengan bukan Islam. Tetapi itu mungkin dulu. Pas dulu-dulu. Pas yang dipertahankan oleh mungkin ibu-ibu atau bapa-bapa kita. Pas yang ingin melihat daulah Islamiah terbentuk di bumi Malaysia.

Namun Pas hari ini sudah jauh berubah. Sebab itu Pas sanggup berkongsi kuasa dengan DAP malah sanggup menerima Anwar Ibrahim sebagai penasihat Pakatan Rakyat sedangkan Pas lebih lama wujud daripada Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat Pahang malah seluruh rakyat Malaysia jangan keliru dengan perangai Pas sejak akhir-akhir ini yang sanggup buat apa sahaja untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Malah mungkin ada ahli Pas di malam kebudayaan rakyat Malaysia malam tersebut yang menjawab salam dari N. Balasubramaniam Pengerusi Kelab Penyokong Pas kerana teruja dan bangga dengan kehadiran seorang penganut Hindu di pentas Pas.

Isnin, 1 Disember 2008

Siapa agaknya calon dari Pahang untuk dimenangkan?

Menjelang pemilihan Umno Mac tahun depan, Pahang tidak kurang juga menampilkan calon-calon yang dianggap wibawa bagi merebut beberapa jawatan penting dalam Umno.

Selain jawatan Presiden yang sudah tentu menjadi milik tokoh tunggal dari Pahang iaitu Dato Seri Najib Tun Razak ada beberapa nama lain lagi yang dipertaruhkan untuk beberapa jawatan penting yang lain.

Tahun ini Pahang ada seorang calon Naib Presiden. Ahli Parlimen Rompin Dato Seri Jamaluddin Jarjis (JJ) sudah melepasi had layak bertanding Naib Presiden nampaknya tidak ada tanda-tanda yang beliau akan berundur dari perebutan. Samada ianya akan berjaya atau sebaliknya, kerja perwakilan yang akan menentukannya.

Cumanya, perlu atau tidak JJ menawar diri bagi jawatan sepenting itu ketika ini. Ada pihak yang mengatakan ‘terlalu awal’ untuk JJ berada pada kedudukan tersebut ditambah pula beliau telah dipencenkan dari jawatan menteri selepas pilihan raya umum lalu. Namun, kehadiran JJ tidak boleh dipandang sepi kerana beliau juga sudah cukup berpengalaman dalam soal pertandingan dan perebutan jawatan dalam Umno.

Kita bersambung dalam posting akan datang…

BN sahaja yang boleh diharapkan membantu rakyat

Hari ini kita bersetuju menambah kadar bantuan bina rumah rakyat miskin tegar ditambah kepada RM33,000 seunit di Semenanjung dan RM40,000 di Sabah dan Sarawak supaya lebih ramai penduduk miskin miliki rumah.

Kadar lebih tinggi 60 peratus ini diluluskan Kabinet bulan lepas, Kadar bantuan Baikpulih Rumah pula ditambah sehingga RM11,000 di Semenanjung dan RM12,000 di Sabah dan Sarawak supaya rumah lebih berkualiti dapat dibina.

Laporan ini dipetik dari http://www.muhammadmuhdtaib.com/. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut kerja BN layarilah laman web ini. Tidak mungkin PAS mampu melaksanakan kerja sebegini melainkan mereka hanya mampu bercakap dan mencari salah orang lain.

Pakatan Rakyat Tidak Hormat dan Persenda Sultan Pahang

Baru-baru ini dalam Kongres Nasional Tahunan PKR, Anwar menegaskan bahawa PKR sentiasa bersedia untuk memulihkan sistem beraja yang sebenarnya berlandaskan Perlembagaan negara.

Mungkin DSAI sudah sedar bahawa PR sering mempersenda Raja-Raja dan Ketua Menteri. Contohnya DAP pernah pulau majlis angkat sumpah di Istana Perak, ADUN Pulau Pinang tidak memakai pakaian rasmi istiadat di istana dan banyak lagi.

Perkara tidak hormat kepada raja juga berlaku di Negeri Pahang, seperti khutbah Jumaat yang dibaca oleh khatib tidak dibacakan doa untuk Sultan Pahang sebagaimana yang berlaku di Masjid Keratong 4 baru-baru ini.

Artikel menarik ini dipetik dari http://warisanpahang.blogspot.com/. Bagi yang ingin mengetahui lanjut layarilah lamanblog ini. Minta izin ye tuan untuk saya petik artikel terbaru tuan ini untuk tatapan pembaca sekelian.

Apa dah jadi Pemuda Umno?

Mungkin kerana terlalu sibuk dengan soal pemilihan hinggakan Pemuda Umno Malaysia tidak berkesempatan untuk melihat sekaligus memperjuangkan isu-isu yang bertimpa-timpa terhadap perjuangan orang Melayu mahupun Umno.

Terbaru bilamana Timbalan Presiden MCA bekas ‘pelakon cinta terlarang’ Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek membuat kenyataan bahawa ketuanan Melayu sudah tidak releven dan ditolak oleh golongan muda pelbagai kaum.

Selepas itu kenyataan tersebut disokong oleh Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan hari ini pula Presiden GERAKAN Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula dilaporkan berkata istilah ketuanan Melayu di negara ini tidak sesuai digunakan lagi kerana ia menggambarkan seolah-olah seperti hubungan ‘tuan dengan hamba’.

Cerita ini dipetik dari www.ahmadsaabun.blogspot.com. Terima kasih bro dan pahangnews memohon untuk memetik artikel ini. Bagi yang ingin mengetahui lanjut layarilah laman blog ini

Cabar PAS buat pendirian kenyataan Dr Chua Soi Lek

Kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa bahawa ketuanan Melayu sudah tidak releven dan ditolak oleh golongan muda pelbagai kaum dan disokong oleh Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan terbaru Presiden GERAKAN Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula bahawa ketuanan Melayu sudah tidak sesuai kerana ia menggambarkan seolah-olah seperti hubungan ‘tuan dengan hamba’.

Mungkin bagi Pas kenyataan tiga pemimpin tersebut tidak kena mengena dengan perjuangan mereka. Kenyataan tersebut lebih ditujukan kepada Umno dan Barisan Nasional kerana itu dianggap soal rumahtanggan Umno.

Kalau ini benar maka benarlah perjuangan tentang untung nasib dan masa depan Melayu di negara ini hanyalah hak dan tanggugjawab Umo. Pas tidak terlibat dan tidak kena mengena dengan orang Melayu.

Maka jika tidak benar kita cabar Pas membuat pendirian terhadap kenyataan tersebut kerana ianya jelas bukan soal Umno semata-mata sebaliknya Soi Lek dan Koh Tsu Koon sudah berani memperkatakan soal Melayu. Apakah Pas itu bukan Melayu atau Pas terpaksa ‘main selamat’ kerana kini berada dalam Pakatan Rakyat.

Jika benar situasi ini maka Pas bukan lagi sebuah parti yang boleh diharapkan oleh ahli-ahlinya untuk membela mereka kerana 99 peratus ahli Pas adalah orang Melayu.


Tidak ada maknanya ahli Pas Melayu terus berada dalam parti itu bilamana pemimpin Pas sekarang sudah dibeli oleh Pakatan Rakyat sehingga terpaksa mengorbankan soal kepentingan bangsa demi mencapai cita-cita politik kepartian mereka.

PPP hendak keluar BN: Keluar sekaranglah...


PPP akan keluar BN jika ISA tidak dipinda KUALA LUMPUR: Parti Progresif Rakyat (PPP) akan keluar dari Barisan Nasional (BN) jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda sebelum pilihan raya umum akan datang, kata Presiden parti, Datuk M Kayveas.


Ini suara terbaru satu lagi rakan komponen Barisan Nasioal (BN). Parti Progresif Rakyat (PPP) pimpinan Datuk M Kayveas melontarkan suara ‘nakal’ berbau ugutan terhadap BN. Alasan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Jika ISA tidak dipinda, PPP akan keluar BN. Katanya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Nampaknya nasib BN ditimpa malang lagi. Tak cukup dengan tekanan dari musuh di luar parti rakan dalaman pulak yang terikut-ikut rentak pembangkang. Inilah nasib jika kita tidak kuat. Semasa BN kuat dahulu menguasai semua negeri kecuali Kelantan, tidak terdengar pun suara sebegini apatah lagi dari rakan BN termasuk PPP.



Saya hampir percaya kata-kata Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak seorang penganalisa politik, ada dua cara untuk popular dan mendapat perhatian dalam politik sekarang ini, iaitu ‘membelasah’ UMNO dan kedua memperlekehkan orang Melayu.


Mungkin Kayvess berada dalam salah satu dari dua perkara diatas dan akhirnya kita terperangkap dalam mainan pembangkang.


Kalau benar PPP berpendirian begitu, tidak perlu tunggu selepas pilihan raya umum akan datang, sekarang pun boleh kalau hendak keluar dari BN. Kehadiran PPP dalam BN selama ini pun tidak banyak membantu kekuatan yang ada. Sebaliknya ‘kelantangan’ Kayvess yang tidak bertempat samada semasa menjadi timbalan menteri atau semasa bersama BN, lebih banyak menyusah dari menyenangkan BN.

Eloklah, kalau ada hasrat untuk keluar BN. BN memerlukan rakan yang setia. Setia dalam senang dan susah dan bukanya setia semasa senang sahaja.

Rabu, 26 November 2008

Pas Pahang Takut Bayang-Bayang Sendiri


Tiba-tiba Pas Pahang jadi takut, gementar dan risau dengan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Datuk Sharkar Shamsuddin bahawa Kerajaan Negeri bercadang untuk melantik pesara sebagai penulis blog. Kalau tidak masakan dalam laman blog Pas Pahang (pahangdaily.blogspot) dan terkini dalam harakahdaily, Pas cuba ‘memperlekehkan’ usaha tersebut.

Kenapa Pas Pahang mesti ‘takut’ atau bimbang dengan usaha tersebut. Apa kena mengena Pas Pahang dengan usaha kerajaan negeri untuk melantik pesara sebagai penulis blog. Sedangkan selama ini Pas Pahang terutamanya melalui berbagai laman blognya menghentam dan memfitnah kerajaan negeri, tidak siapa yang ambil kisah. Mereka bebas menggunakan kebebasan media alternative untuk memburukan sesiapa sahaja yang dilihat tidak sealiran dengan mereka.

Sudah tentu, tindakan Pas Pahang mempersoal dan mempertikaikan usaha tersebut sebagai tindak balas dari rasa bimbang dan ‘takut’ bila nanti kerajaan negeri sendiri mempunyai penulis blog yang terdiri dari pesara kerajaan kerana mereka yang akan dilantik nanti lebih arif dan tahu perkara sebenar samada apa yang pernah berlaku dalam pentadbiran negeri atau setiap isu semasa.

Sebagai pesara kerajaan negeri sudah tentu perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk kebaikan rakyat telah dan pernah diputar belikan oleh Pas akan dijawab dan dijelaskan oleh bakal penulis ini. Inilah kebimbangan paling ketara Pas Pahang bilamana mereka tidak senang dengan usaha Dato Sharkar tersebut.

Tidak perlulah Pas Pahang untuk berlagak ‘hero’ menjadi penganalisa dan ‘peramal’ politik murahan di Pahang terhadap apa yang berlaku dalam Umno terutama setelah selesai pemilihan peringkat bahagian di Pahang. Faktor kekalahan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pahang, itu bukan urusan Pas, malah Pas tidak berhak untuk campurtangan. Bagi Umno, proses pemilihan yang berlaku saban masa adalah proses demokrasi yang tetap subur dalam Umno. Umno memilih pemimpin adalah secara terbuka dan proses pertandingan adalah perkara biasa dalam Umno.

Pas Pahang tidak perlu jadi ‘tukang sibuk’ menjaga tepi kain Umno, sebaliknya tengok dan lihat dalam diri Pas sendiri, apa yang sedang berlaku dalam parti mereka. Pas di Selangor dan Pas di Perak sedang ‘ditunggangi’ oleh rakan dalam Pakatan Rakyat cuba ditutup dan diselidungi oleh Pas dan ahli mereka sendiri. Pas perlu sedar mereka hanya ‘boneka’ dalam Pakatan Rakyat.

Pas Pahang perlu bersedia sedikit masa lagi untuk berdepan dengan penulis blog kerajaan negeri yang terdiri dari pesara kerajaan dan mereka yang sukarela untuk menulis bagi membongkar segala pembohongan Pas di Pahang selama ini.

Dato Sharkar jangan takut dan gentar dengan permainan Pas ini. Mereka sudah mula goyah kerana selepas ini akan ada orang yang menjawab dan menjelaskan kepada rakyat apa yang ditulis oleh penulis blog upahan Pas. Biar rakyat menilai dan mengadili segala pembohongan Pas selama ini.

Isnin, 24 November 2008

Pas hilang arah

Dua tiga hari lepas Datuk Sharkar Shamsuddin ada membuat kenyataan bahawa kerajaan Pahang akan menjemput bekas pesara kerajaan untuk menjadi blogger di Pahang. Niat dan tujuan Datuk Sharkar adalah untuk berkongsi ilmu bekas pesara kerajaan dalam usaha menjelas dan menangkis segala tohmahan pembangkang di Pahang.

Bukannya apa sejak kebelakangan ini Pas terutamanya di Pahang semakin ghairah menyerang Umno dan pemimpinnya. Jadi niat dan tujuan Datuk Sharkar itu seharusnya dipandang dari sudut positif kerana bekas pesara kerajaan terutama yang pernah memegang jawatan tinggi dan penting dalam pentadbiran samada di peringkat pusat mahupun negeri sudah tentu mempunyai maklumat yang lebih tepat.

Bagi Kerajaan Negeri Pahang, meskipun kita bercadang untuk berinteraksi dalam alam siber tetapi kita bukanlah jenis seperti Pas yang hanya sedap menulis tanpa mengambil kira fakta dan kebenarannya.

Jadi bagi Kerajaan Negeri Pahang, meskipun berinteraksi di alam siber tetapi fakta dan kenyataan tetap diberi keutamaan. Inilah bezanya antara Umno dan Pas.