Rabu, 26 November 2008

Pas Pahang Takut Bayang-Bayang Sendiri


Tiba-tiba Pas Pahang jadi takut, gementar dan risau dengan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Datuk Sharkar Shamsuddin bahawa Kerajaan Negeri bercadang untuk melantik pesara sebagai penulis blog. Kalau tidak masakan dalam laman blog Pas Pahang (pahangdaily.blogspot) dan terkini dalam harakahdaily, Pas cuba ‘memperlekehkan’ usaha tersebut.

Kenapa Pas Pahang mesti ‘takut’ atau bimbang dengan usaha tersebut. Apa kena mengena Pas Pahang dengan usaha kerajaan negeri untuk melantik pesara sebagai penulis blog. Sedangkan selama ini Pas Pahang terutamanya melalui berbagai laman blognya menghentam dan memfitnah kerajaan negeri, tidak siapa yang ambil kisah. Mereka bebas menggunakan kebebasan media alternative untuk memburukan sesiapa sahaja yang dilihat tidak sealiran dengan mereka.

Sudah tentu, tindakan Pas Pahang mempersoal dan mempertikaikan usaha tersebut sebagai tindak balas dari rasa bimbang dan ‘takut’ bila nanti kerajaan negeri sendiri mempunyai penulis blog yang terdiri dari pesara kerajaan kerana mereka yang akan dilantik nanti lebih arif dan tahu perkara sebenar samada apa yang pernah berlaku dalam pentadbiran negeri atau setiap isu semasa.

Sebagai pesara kerajaan negeri sudah tentu perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk kebaikan rakyat telah dan pernah diputar belikan oleh Pas akan dijawab dan dijelaskan oleh bakal penulis ini. Inilah kebimbangan paling ketara Pas Pahang bilamana mereka tidak senang dengan usaha Dato Sharkar tersebut.

Tidak perlulah Pas Pahang untuk berlagak ‘hero’ menjadi penganalisa dan ‘peramal’ politik murahan di Pahang terhadap apa yang berlaku dalam Umno terutama setelah selesai pemilihan peringkat bahagian di Pahang. Faktor kekalahan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pahang, itu bukan urusan Pas, malah Pas tidak berhak untuk campurtangan. Bagi Umno, proses pemilihan yang berlaku saban masa adalah proses demokrasi yang tetap subur dalam Umno. Umno memilih pemimpin adalah secara terbuka dan proses pertandingan adalah perkara biasa dalam Umno.

Pas Pahang tidak perlu jadi ‘tukang sibuk’ menjaga tepi kain Umno, sebaliknya tengok dan lihat dalam diri Pas sendiri, apa yang sedang berlaku dalam parti mereka. Pas di Selangor dan Pas di Perak sedang ‘ditunggangi’ oleh rakan dalam Pakatan Rakyat cuba ditutup dan diselidungi oleh Pas dan ahli mereka sendiri. Pas perlu sedar mereka hanya ‘boneka’ dalam Pakatan Rakyat.

Pas Pahang perlu bersedia sedikit masa lagi untuk berdepan dengan penulis blog kerajaan negeri yang terdiri dari pesara kerajaan dan mereka yang sukarela untuk menulis bagi membongkar segala pembohongan Pas di Pahang selama ini.

Dato Sharkar jangan takut dan gentar dengan permainan Pas ini. Mereka sudah mula goyah kerana selepas ini akan ada orang yang menjawab dan menjelaskan kepada rakyat apa yang ditulis oleh penulis blog upahan Pas. Biar rakyat menilai dan mengadili segala pembohongan Pas selama ini.

Isnin, 24 November 2008

Pas hilang arah

Dua tiga hari lepas Datuk Sharkar Shamsuddin ada membuat kenyataan bahawa kerajaan Pahang akan menjemput bekas pesara kerajaan untuk menjadi blogger di Pahang. Niat dan tujuan Datuk Sharkar adalah untuk berkongsi ilmu bekas pesara kerajaan dalam usaha menjelas dan menangkis segala tohmahan pembangkang di Pahang.

Bukannya apa sejak kebelakangan ini Pas terutamanya di Pahang semakin ghairah menyerang Umno dan pemimpinnya. Jadi niat dan tujuan Datuk Sharkar itu seharusnya dipandang dari sudut positif kerana bekas pesara kerajaan terutama yang pernah memegang jawatan tinggi dan penting dalam pentadbiran samada di peringkat pusat mahupun negeri sudah tentu mempunyai maklumat yang lebih tepat.

Bagi Kerajaan Negeri Pahang, meskipun kita bercadang untuk berinteraksi dalam alam siber tetapi kita bukanlah jenis seperti Pas yang hanya sedap menulis tanpa mengambil kira fakta dan kebenarannya.

Jadi bagi Kerajaan Negeri Pahang, meskipun berinteraksi di alam siber tetapi fakta dan kenyataan tetap diberi keutamaan. Inilah bezanya antara Umno dan Pas.